AMALAN PEMAKANAN SEMASA BERPANTANG
Pemakanan ialah aspek yang amat penting dalam rawatan pantang bersalin. Ini kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal. Apalagi semasa melahirkan anak, tenaga dikerah dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi luka di bahagian tertentu.
Mengikut sesetengah petua Melayu, ibu-ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum). Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah.
Oleh sebab itulah makan perubatan moden menentang amalan berpantang cara Melayu. Ingin diingatkan, cara pemakanan tersebut bukanlah cara Melayu tradisional yang sejati tetapi merupakan sebahagian cara hidup mereka yang kurang berkemampuan.
Jenis ikan
Ibu dalam pantang dilarang memakan ikan masin atau ikan kering kerana makanan tersebut hanya akan menyebabkan darah nifas berbau busuk, cepat kering serta melemahkan daya ketahanan fizikal dan mental.
Ilmu perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan yang segar, mengelakkan ikan yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Selain ikan berbisa, jenis ikan yang dilarang yang menyebabkan kegatalan kulit serta menimbulkan reaksi alahan ialah ikan kembung, tamban, cencaru, atau tongkol dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan lain-lain.
Mengikut petua Melayu, ikan yang disyorkan dalam pantang bersalin ialah haruan dan yu. Ia dipercayai boleh memulihkan luka-luka dalaman dan luaran. Ikan haruan yang hidup di dalam lumpur mengandungi khasiat mineral yang tinggi bagi menyembuhkan luka. Secara tradisi, ikan yu dipercayai dapat membanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik turut mendapati perkara tersebut benar.
Ulam-ulaman
Terdapat pelbagai jenis ulam tempatan yang mudah diperoleh di mana-mana, antaranya serai, lengkuas, daun atau ubi cekur, bunga kantan, kunyit hidup, daun kesum serta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan.
Selain ulam di atas, terdapat ulam berkhasiat yang sesuai dimakan oleh ibu dalam pantang, antaranya:
Daun pegaga, pucuk mengkudu, ulam raja, daun lemuni hitam, daun kaduk, daun sekentut, daun cemumar, daun pudina, daun kari, daun bebuas dan daun ruku.
Jenis sayuran dan buahan
Ibu bersalin dilarang memakan sayur-sayuran menjalar, sejuk serta berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, pucuk paku, bayam, sayur atau daun keti (bunga putih), kacang panjang, petola, labu, rebung, kacang botor, jeruk maman, petai, jering serta terung.
Ibu bersalin juga harus mengelakkan minuman bergas, sejuk serta tajam seperti air tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, durian belanda, mangga, betik, ciku, langsat, tembikai cina, nangka, cempedak, pisang masak hijau, pisang nangka, pisang embun, pisang udang, ubi kayu, ubi keladi, sengkuang, manggis, macang, kuinin, dan binjai. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi. Penyakit-penyakit tersebut diketahui telah banyak berleluasa di barat dan dikenali sebagai artritis dan rheumatisme.
Jenis ayam dan burung
Ibu bersalin disyorkan memakan ayam hitam, ayam didik atau ayam selasih yang digaul dengan halia tua, garam kasar dan madu lebah. Ayam ini dikukus dan diambil patinya untuk mengembalikan ketahanan tubuh. Burung puyuh dan merpati juga baik untuk melancarkan aliran darah dan mengatasi masalah sukar tidur pada waktu malam.
Bertungku
Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang sekiranya tidak bertungku. Biasanya tungku diperbuat daripasda besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5 kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan. Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.
Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia. Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan. Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.
Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari / bawah pusat dan di atas perut ( bawah buah dada ). Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.
Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku. Justeru bertungku ada kala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan hingga habis pantang.
Berurut menyegarkan badan
Urut juga merupakan amalan penting dalam pantang. Ia hendaklah dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku. Pastikan rawatan ini dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman. Amalan urut perlu dilakukan seminggu selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut. Bagi yang ingin merasa lebih segar, amalan berurut boleh dilakukan pada penghujung pantang iaitu hari ke 42, 43 dan 44 diikuti pada hari ke 60 dan ke 100 selepas berpantang.
Sebaiknya mulakan urutan pada sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam. Urut bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kekotoran.
Urut hendaklah menggunakan minyak. Kini terdapat banyak minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran. Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi. Namun jika rajin kita sendiri boleh membuat minyak urut.
Mandi
Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur.
Mandi dedaun
Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri. Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang. Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi ( Vitex negundo ), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai ( Lawsonia terma ), daun bonglai, daun mengkudu ( Morinda citrifolia ) dan rempah halba. Sekiranya ramuan ini payah dicari di bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar atau mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.
Berikut ialah contoh ramuan yang diperlukan untuk menyediakan air rebusan untuk mandi :-
• 1/2 pelepah daun pisang kering atau daun pisang segar
• 10 helai daun limau purut
• 6 batang daun serai bersama serai
• halia muda sebesar 4 kali ibu jari
• 7 helai daun pandan wangi atau pandan biasa
• 2 helai daun kunyit hitam atau temu kunci
• seketul lengkuas atau 3 helai daunnya
• segenggam halba ( dipunjutkan )
CARA MENYEDIAKAN AIR MANDI
Ambil periuk tanah ukuran sederhana. Sediakan bahan-bahan di atas. Basuh bersih-bersih dan jerangkan bersama air di atas api yang sederhana. Masukkan halba yang dipunjutkan. Setelah air panas, ambil air rebusan ini dan campurkan dengan air pili dan pastikan suhu air, suam-suam kuku sahaja.
Mandi air rebusan dedaun ini juga seharusnya mengikut petua orang tua-tua. Mulakan menjirus pada bahagian ibu jari kaki kanan dahulu diikuti kaki kanan hingga ke pinggang. Ulang pada kaki kiri. Adalah penting memulakan jirus pada bahagian kaki supaya urat tidak tersentak apabila terkena air. Kemudian ulang semula menjirus kaki hingga ke bahu kanan. proses yang sama dilakukan pada bahagian kiri dan seterusnya barulah mandi keseluruhan badan.
Daun-daun rebusan tadi boleh digunakan untuk menggosok badan agar khasiat dan harumannya meresap ke dalam kulit. Punjut halba juga boleh digunakan untuk menggosok badan kerana ia dapat membantu memejalkan otot di samping menghalang air dari masuk ke dalam badan. Adalah dipercayai amalan mandi cara ini dapat mengeluarkan angin di dalam badan, mengendurkan otot, menghaluskan kulit dan untuk tujuan awet muda.
mandi lulur
Sebenarnya ilmu merawat wajah dan tubuh ini telah dikenali dan diamalkan kaum wanita sejak zaman dahulu lagi umpamanya puteri raja Mesir dahulu kala menggunakan kaedah mandi lumpur yang kaya dengan mineral untuk mencantikkan kulit. Begitu juga warisan nenek moyang kita sendiri yang membuat bedak lulur menggunakan campuran tepung beras, tulang sotong dan daun nangka, bedak sejuk cekur atau bedak kulit ari daripada batang rambai untuk melulur kulit.
Sebelum mandi seluruh tubuh akan dilulur dan bahan yang terkandung di dalam lulur bertindak sebagai ‘scrub’ bertujuan membuang daki-daki yang melekat pada kulit. Dalam masa yang sama sel-sel mati akan turut tertanggal. Bagi yang berkemampuan mereka boleh mendapatkan khidmat rawatan mandian di pusat-pusat kecantikan yang terdapat di negara kita. Kebayakan ramuan mandian yang digunkan adalah berupa ramuan herba, akar kayu dan rempah ratus yang mempunyai khasiat rawatan yang tersendiri.
BERTANGAS
Ia dilakukan selepas mandi. Amalan ini penting agar luka dan jahitan cepat sembuh. Bahagian sulit juga cepat kering dan ketat, mengecut rahim serta otot-otot yang kembang dan mengelakkan proplase ( keluar tombong ). Berbagai ramuan boleh digunakan untuk bertangas seperti kemiyan yaman, jintan hitam, halba dan lain-lain.
Ramuan tangas:
• 9 keping asam gelugur
• 2 camca besar garam jantan
• 3 helai daun sirih ( Piper betel )
• segenggam inai ( Lawsonia terma )
• halia sebesar ibu jari ( Zingiber officinale )
• 3 biji manjakani
Caranya : Rebus semua bahan bersama air hingga mendidih. Angkat dan tangas selama kira-kira 20 minit. Untuk hasil yang baik ia dilakukan dua tiga kali sehari hingga 44 hari. Air yang sudah sejuk jangan dibuang, sebaiknya jadikan pencuci bahagian sulit.
MEMAKAI BENGKUNG
Selain dari rawatan dalaman, kita perlu juga mengamalkan rawatan luaran. Antaranya ialah pemakaian param ke seluruh badan supaya badan tidak masuk angin dan memakai pilis. Pilis disapukan memanjang menutupi dahi bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering dialami oleh wanita bersalin
Seterusnya sebelum memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel ( ubat barut ) yang dicampurkan dengan lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis. Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan kondisi kulit perut.
Selain menggunakan tapel, ramuan berjadam juga boleh digunakan untuk mengecutkan perut serta membuang angin di dalam badan sewaktu berbarut. Antara ramuan berjadam adalah seperti berikut :-
• segenggam jadam ( diperbuat dari kayu gaharu atau lidah buaya )
• halia ( Zingiber officinale ) sebesar ibu jari
• isi kunyit terus sebesar ibu jari
• tiga ulas bawang putih ( Allium sativum )
• asam jawa ( Tamarindus indica ) sebesar bola pingpong
• secawan air kosong
• periuk tembikar dan sudip
cara membuatnya:
Masukkan jadam di dalam periuk tanah. Tumbuk halia, isi kunyit terus dan bawang putih selumat-lumatnya. Kemudian gaul dengan jadam dan campur perahan air asam jawa. Jerang di atas api perlahan hingga mengggelegak.
cara menyapu jadam:
Biarkan jadam suam-suam kuku. Bentang barut dan baring di atasnya. Selepas itu sapu jadam pada seluruh perut hingga ke bahagian ari-ari. Tutup dengan kain kecil dan ikat barut dengan kemas. Seterusnya untuk lebih kemas pakailah bengkung.
Bengkung haruslah diikat ketat dan kemas meliputi bahagian punggung, perut sehingga bahagian bawah payu dara. Ini untuk mengelakkan bahagian-bahagian seperti punggung dan perut mengalami pengumpulan lemak yang membawa gejala buncit dan mengendurkan punggung.
Minum air akar kayu dan jamu
Semasa tempoh berpantang ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari penjual-penjual ubatan tradisional. Minum air akar kayu dan jamu menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.
Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan. Tekan ibu jari kaki kanan ke atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat tiga kali, tarik nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa mual.
Makanan berkhasiat untuk yang berpantang
Jika merawat diri tetapi tidak berpantang makan samalah seperti mandi tidak bersabun. Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan. Kalau ditanya pendapat orang tua-tua atau bidan kampung, mereka akan mengatakan ianya adalah untuk mengelakkan meroyan atau tempat peranakan menjadi licin dan tidak kembali ke tempat asalnya. Minum air batu atau minum terlalu banyak air juga akan menyebabkan urat dan peranakan menjadi kembang. Namun tidak diketahui sejauh mana kebenarannya akan perkara ini. Perkara yang nyata mengamalkan pantang makan selepas bersalin membuatkan ibu kembali sihat malahan anggun dan ceria kerana mengurangkan pengambilan lemak, gula dan minyak yang berlebihan.
Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin, dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau dikukus. Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu. Selain dari itu ulaman seperti pegaga (Centella asiatica), kunyit (Curcuma domestica), halia (Zingiber officinale), cekur (Kaempferia galanga), mengkudu (Morinda citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan ibu-ibu di samping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang. Menurut orang tua-tua buah mengkudu (Morinda citrifolia) jika dimakan mentah mempunyai khasiat yang sama dengan seperiuk ubat akar kayu. Cara makannya, ia perlu dimakan dengan sedikit garam dan terus ditelan. Ia tidak boleh dikunyah kerana boleh menyebabkan mulut berasa terbakar. (Rujuk lampiran 3 untuk melihat resipi hidangan berkhasiat untuk ibu-ibu yang berpantang )
Makanan yang menyebabkan angin patut dielakkan. Angin atau dalam bahasa saintifiknya flatulence boleh didefinisikan sebagai situasi di mana seseorang terasa sangat kenyang. Menurut Mary Easaw, Pengurus Dietetik & Dietari di Intitut Jantung Negara, selain dari beberapa faktor tertentu, makanan turut menjadi penyumbang kepada masalah angin. Masalah angin yang disebabkan oleh makanan adalah berbeza dari seorang individu kepada individu yang lain.
CARA IKATAN BARUT
2. Ikat satu hujung kain pada tombol pintu atau dipegang pembantu. Lilit bermula di bawah paras punggung. Pastikan satu hujung kain pendek, agak-agak melepasi kepala. Bahagian berkenaan dijadikan tulang bengkung.
3. Lilitan dipusing ke belakang, apabila tiba di depan, simpul pada bahagian pendek, kemudian pusing ke belakang semula.
4. Bahagian depan siap diikat.
5. Bahagian belakang, dililit kemas dan bertindih setiap satunya.
MAKANAN YG MENYUMBANGKAN ANGIN DALAM PERUT
• Legumes - kebanyakannya dari jenis kekacang kering, kacang panjang dan kacang soya.
• Susu dan hasil susu - susu, aiskrim dan keju.
• Sayur-sayuran - kubis, lobak putih, lobak merah, kubis brussel, bawang, kubis bunga, asparagus, timun dan brokoli.
• Sayuran berubi - kentang dan sengkuang
• Buah-buahan - prun, aprikot, epal, kismis, pisang, sukun, nangka, pear dan pic.
• Bijirin dan roti - kesemua jenis makanan yang mengandungi gandum dan produk daripada gandum termasuk bijirin, roti dan pastri.
• Makanan berlemak - makanan bergoreng, lemak daging, sos krim dan sos tartar.
• Cecair - minuman bikarbonat soda, fizi, minuman bergas, ubatan atau serbuk.
• Seserat (fiber) - kacang, oat, bran dan kacang panggang.
RESEPI SEMASA PANTANG
SUP HARUAN
Mudah saja menyediakan Sup Haruan ini.
Ia cuma memerlukan sedikit air asam jawa, lada hitam dan juga halia.
Rebus dengan sedikit air sehingga ikan haruan masak.
Kata ibu, orang dalam pantang elok makan ikan haruan. Lebih2 lagi bagi mereka yang bersalin melalui pembedahan. Ikan haruan akan mempercepatkan proses penyembuhan luka.
HARUAN BAKAR
Ikan haruan dibakar dan hanya boleh dimakan dengan air asam jawa pekat, bawang besar dan lada hitam.
Ulam boleh ditambah iaitu ulam pegaga.
SUP AYAM
Sup ayam hendaklah direbus hanya dengan rempah tumis, lada hitam, garam dan halia yang banyak. Supnya tidak boleh banyak.
SUP KENTANG
Orang berpantang tidak boleh banyak minum air dan makan makanan berminyak.
Oleh itu sesekali untuk membasahkan tekak, anda boleh menikmati Sup Kentang yang dicampurkan dengan Suun.
Ia direbus hanya menggunakan halia dan lada hitam. Bagaimanapun, supnya tidak boleh banyak.
BILIS SANGAI
Ikan bilis disangai hingga garing. Kemudian dicampurkan dengan halia.
Bahan tambahan ialah air asam jawa dan dimakan dengan 5 ulas bawang merah dan ulam pegaga.
HALIA PADI
Halia padi adalah halia yang kecil isinya.
Dengan memakan halia ini, ia bertindak membuang angin dalam badan.
Hidangan ini boleh dimakan dengan air asam, bawang merah dan juga lada hitam.
HALIA BARA
Halia bara dihidangkan dengan 5 ulas bawang merah, air asam jawa dan sedikit lada hitam.
Ia hendaklah selalu dimakan kerana ia dapat memanaskan badan ibu yang baru bersalin.
Selain halia bara, anda juga boleh makan isi jerangau ataupun lempoyang.
BONGLAI
Ia berguna untuk menghilangkan bau ketiak dan badan. Susu badan juga tidak akan berbau.
Bonglai dibuangkan kulit dan dimakan dengan bawang besar yang dimayang dan juga air asam jawa pekat yang dibancuh dengan sedikit garam.
Air asam membantu mengecutkan dinding perut yang mengembang setelah bersalin.
POKOK KUNCI
Ia berbentuk panjang berwarna coklat. Kulitnya dibuang dan ia dimamah begitu saja dengan nasi.
Pokok Kunci bertindak mengunci nafsu makan dan angin pada badan.
PEGAGA
Amalkan makan pegaga sewaktu dalam pantang.
[VIDEO] Reen Rahim Seloroh Mahu ‘Belanja’ Bahu, Suami Tegur – ‘Nanti Sampai
Bahu Juga Malaikat Bantai Kau’
-
Telatah dan kemesraan antara pelakon Reen Rahim dan suaminya Ahmad Nur
Hazim Zainal Abidin, sering kali mendapat perhatian warganet. Artikel
Berkaitan: ‘...
7 hours ago
1 comment:
salam. saya nak tanye lah. ape akan jadi sekiranya seseorang yg berada dlm pantang bersalin termakan ikan berbisa seperti ikan duri. dan ape penawar bg yg telah termakan ikan berbisa tersebut.????
Post a Comment