BERMULA dengan ingin mencuba merokok seperti yang dilihat dalam filem atau di kalangan golongan dewasa, seorang remaja mungkin kekal sebagai perokok tegar seumur hidupnya. Jika seseorang mula dengan menghisap banyak rokok secara mendadak, ia sebenarnya mampu menjadikannya khayal atau membunuh jika tahap nikotina dan kimia tembakau terlalu tinggi di dalam badan.
Bagaimanapun, jika tabiat buruk itu dimulakan secara perlahan, badan akan dapat menyesuaikan diri dengan kandungan racun rokok sehingga mampu menghisap puluhan batang rokok sehari. Dengan penyesuaian terhadap tahap ketepuan nikotina dan bahan sampingan yang tinggi ini, pasti amat sukar untuk berhenti menghisap rokok.
Pembawa penyakit
Sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia hari ini, sekali lagi 'amaran kesihatan tembakau' ditekankan supaya lebih ramai perokok dan ahli keluarga mereka yang sedar merokok menjadi punca utama penyakit dan kematian yang boleh dicegah.
Pakar Perunding Kardiologi dan Pengarah Klinikal Pemulihan Jantung, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim menceritakan bagaimana rokok mula diperkenalkan sebagai ubat asma, alahan dan nafas berbau pada awal abad ke-20.
"Pada awalnya, para doktor sendiri mengesyorkan rokok untuk bermacam jenis penyakit pada 1920-an dan 1930-an. Bagaimanapun, dengan penemuan risiko dan kesan rokok, doktor mula menolak amalan merokok," katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekitar 100 juta maut sepanjang abad ke-20 akibat penggunaan tembakau dengan jangkaan lebih 1 bilion lagi akan mati sepanjang abad ke-21 jika jumlah perokok kekal, atau semakin bertambah dengan perokok muda.
Kini, dianggarkan seorang perokok (atau perokok pasif) meninggal dunia setiap 6 saat akibat penyakit berkaitan tembakau. Sebanyak 5.4 juta menemui ajal setiap tahun akibat tembakau, jauh lebih banyak daripada jumlah bersama maut akibat tibi, HIV, malaria, kemalangan, dadah atau pembunuhan.
Dr. Aizai Azan menegaskan lebih 80 peratus kematian akibat tembakau akan berlaku di negara membangun menjelang 2030 jika tindakan segera tidak diambil.
"Walaupun tabiat merokok di Barat mengalami penurunan mendadak, bilangan perokok di negara membangun seperti di Asia dan Malaysia pula makin meningkat.
"Dengan lebih 4,000 bahan kimia serta 250 bahan toksin dan juga karsinogen (penyebab kanser) dalam tembakau, tidak menghairankan enam daripada lapan punca kematian utama dunia berkaitan dengan tembakau," ujarnya.
Secara umumnya, merokok meningkatkan risiko serangan jantung dua kali ganda, kematian mengejut akibat penyakit jantung (empat kali ganda) dan strok (tiga kali ganda). Merokok juga meningkatkan risiko kanser paru-paru sebanyak 20 kali ganda dan menjadi punca 90 peratus kanser paru-paru dan 75 peratus penyakit sumbatan pulmonari kronik (COPD).
Situasi tempatan
Di Malaysia, situasi semasa menunjukkan berita baik dan juga berita buruk. Dr. Aizai Azan memaklumkan kebanyakan rakyat negara ini tidak merokok dengan catatan sekitar 3 juta perokok di Malaysia pada 2006.
"Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi negara juga menunjukkan sekitar 10,000 perokok berhenti merokok sepenuhnya setiap tahun.
"Malangnya, ramai rakyat Malaysia yang menghadapi risiko penyakit dengan menjadi perokok pasif dari asap perokok," jelasnya.
Tambahan pula katanya, bilangan 10,000 yang berhenti merokok setiap tahun itu sebenarnya mungkin telah meninggal dunia akibat penyakit berkaitan tembakau (penyakit kardiovaskular, kanser, strok dan COPD).
Sebahagian besar perokok didapati pernah cuba untuk berhenti tetapi gagal kerana kurangnya bantuan. Walaupun kebanyakan perokok adalah lelaki, peningkatan bilangan perokok wanita amat membimbangkan. Ini kerana perokok (atau perokok pasif) menghadapi risiko kesihatan lebih tinggi, terutamanya jika mereka turut menggunakan ubat pencegah kehamilan.
Dr. Aizai Azan menyatakan risiko tinggi menunjukkan kepentingan perokok wanita berhenti merokok dengan segera.
"Badan memerlukan 15 tahun untuk membuang sepenuhnya toksin tembakau dari dalam badan. Berhenti merokok juga dilihat jauh lebih berkesan daripada ubat atau senaman untuk meningkatkan kesihatan diri.
"Lebih banyak manfaat dapat dinikmati jika perokok berhenti dengan segera, sebelum berlaku kerosakan kekal dan ketagihan tegar," katanya.
Usaha berhenti
Pengarah Serantau Urusan Perubatan Pfizer, Dr. Alaster Allum menjelaskan bagaimana kebanyakan perokok memikirkan risiko merokok cuma dihadapi orang lain dan bukan diri mereka.
"Sebagai perokok, mereka perlu sedar bahawa mereka mungkin sempat melihat anak ke kolej atau berkahwin, tetapi kemungkinan besar mereka tidak berkesempatan melihat cucu.
"Perlu difahami bahawa jika perokok cuma menghisap satu atau dua batang rokok sehari, ianya atas dasar pilihan sendiri. Tetapi, jika sehingga satu kotak sehari, itu sejenis ketagihan," tegasnya.
Kebiasaannya, perokok akan memulakan hari dengan sebatang rokok, mungkin bersama secawan kopi atau sarapan pagi, yang memberi kepuasan besar selepas semalaman tidak merokok. Jika perokok itu cuba berhenti merokok, mereka akan merasa tarikan amat kuat untuk merokok ketika menikmati kopi atau sarapan pagi.
Dengan kehadiran masalah dalam hidup seharian, usaha untuk berhenti mungkin gagal. Bila perokok mula merokok semula, rokok pertama itu bagaikan rokok paling nikmat dalam hidupnya. Rasa nikmat ini seterusnya menyukarkan lagi usaha perokok untuk berhenti.
Dr. Allum menjelaskan keazaman diri atau berhenti mendadak (cold turkey) cuma berkesan untuk peratusan kecil perokok berhenti merokok.
"Terdapat banyak ubat mahupun terapi gantian nikotina (NRT) di pasaran yang boleh digunakan bagi membantu seseorang berhenti merokok.
"Ubat terbaru, varenicline, merupakan antara yang mampu membantu meningkatkan kebarangkalian perokok tegar berhenti merokok," jelasnya.
Menurut beliau, ujian percubaan ubat tersebut menunjukkan kebarangkalian sehingga 44 peratus untuk membantu berhenti merokok selepas 12 minggu rawatan. Walaupun tidak sampai 50 peratus, kebarangkalian tersebut jauh lebih tinggi berbanding peratusan amat rendah berhenti atas keazaman diri semata-mata.
Dengan berpandukan ujian darah, tahap karbon monoksida badan dan ujian-ujian lain, bentuk ketagihan perokok dapat ditentukan bagi menentukan kaedah rawatan yang sesuai (NRT atau terapi ubat). Usia dan tempoh merokok juga akan menentukan bentuk dan keberkesanan rawatan.
Perlu bertanya
Dr. Allum memaklumkan bahawa bukan semua doktor akan merawat perokok tegar. Sebenarnya golongan doktor dan juga hli farmasi perlu bertanya jika seseorang itu ingin berhenti merokok.
"Sama ada ya atau tidak, dengan bertanya sudah banyak membantu seorang perokok tegar ke arah berhenti merokok.
"Dari situ, bermacam jenis ubat boleh digunakan untuk membantu mereka berhenti, bila tiba masa keinginan untuk berhenti merokok," katanya.
Hidup tiada kepastian. Dr. Allum menyamakan bagaimana golongan yang suka melakukan aktiviti berbahaya bukan semuanya mati.
Bagaimanapun beliau menegaskan seorang perokok sudah pasti memendekkan 10 tahun hayatnya.
Bagi Dr. Aizai Azan, pilihan bermacam jenis ubat di pasaran perlu disertakan dengan sesi kaunseling lebih berkesan dalam membantu seseorang berhenti merokok.
"Banyak faktor sampingan yang memainkan peranan dalam menentukan perokok berjaya atau gagal berhenti merokok.
"Gabungan ubat dan kaunseling bagaimanapun cuma memberi sehingga 50 peratus kebarangkalian berjaya berhenti. Disebabkan itu, kebanyakan perokok secara puratanya hanya berjaya berhenti selepas tiga kali mencuba," jelasnya.
Apa yang penting tegasnya, adalah meneruskan usaha untuk berhenti kerana tiada dua perokok yang sama dan tiada satu program yang sesuai untuk semua berhenti merokok.
Jika perokok kembali kepada tabiat buruk itu, mereka boleh memulakan semula sesi rawatan dan kaunseling. Untuk itu, doktor dan ahli farmasi juga perlu memberi nasihat mengenai pilihan yang ada dan membantu perokok berhenti sepenuhnya.
Dr. Aizai Azan memaklumkan IJN sendiri telah membuka klinik berhenti merokok sejak dua bulan lalu sebagai pusat sehenti bagi membantu menasihat dan memberi terapi bagi yang ingin berhenti merokok.
"Klinik ini bagaimanapun tidak diuruskan oleh para doktor, sebaliknya oleh jururawat terlatih dalam membantu menentukan rawatan bersesuaian mengikut situasi perokok.
"Ini berikutan pesakit dilihat memberi tindak balas lebih baik dalam hubungan bersama kakitangan kesihatan berbanding doktor. Dengan menggunakan jalinan hubungan ini, diharap perokok lebih mudah dibantu untuk berhenti," ujarnya.
Golongan perokok yang ingin berhenti atau ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian utama IJN 03-26178200 atau menghubungi mana-mana klinik berhenti merokok berhampiran, doktor mahupun ahli farmasi.
Kepada perokok - perokok tegar diluar sana dan kepada sesiapa yang baru ingin mendekati rokok take note arr, harap ini sedikit sebanyak menjadi panduan tentang bahana rokok...
Rezeki Minat Cosplay, Lucine KLP48 Dilantik Jadi Duta Rasmi Anime – ‘Satu
Pencapaian Terbesar Dalam Hidup Saya’
-
Ahli kumpulan KLP48 iaitu Lucine meluahkan rasa teruja apabila dilantik
sebagai duta rasmi anime Lalaport BBCC. Menerusi temu bual eksklusif
bersama OhBu...
5 hours ago
No comments:
Post a Comment