Elak Bekas Dari Berbau
Bekas menyimpan makanan yang terlalu lama digunakan akan meninggalkan bau yang tidak enak. Atasinya dengan merendamkan beberapa helai suratkhabar di dalam bekas tersebut dan biarkan selama dua hingga tiga jam. Bau tersebut akan diserap oleh kertas tadi dan bekas tidak lagi berbau.
Menghilangkan Hanyir Daging
Ada orang tidak makan daging kerana tidak suka bau hanyirnya. Cara mudah mengatasi masalah ini ialah basuh daging dengan menggunakan air basuhan beras. Basuh sehingga daging putih sedikit. Bau hanyir dan lendir daging juga akan hilang. Selamat mencuba.
Halau Semut Dalam Gula
Letak sebilah pisau di bawah bekas yang berisi gula. Biarkan beberapa ketika. Insya-Allah semut akan berkumpul di satu tempat dan ini memudahkan kerja-kerja membuangnya. Oleh itu anda tidak perlu membuang semua gula yang dikerumuni semut. Selamat mencuba.
Cara Mudah Kopek Kulit Udang
Ada beberapa cara untuk memudahkan anda mengopek kulit udang.
1. Campurkan sedikit garam ke dalam semangkuk air. Kemudian randam udang selama 10 minit. Kulit udang akan terbuka dengan sendirinya.
2. Perahkan limau nipis ke dalam semangkuk air. Masukkan udang. Biar selama 15 minit.
3. Rendam udang ke dalam air panas. Biarkan seketika.
Hilangkan Hanyir Ikan Darat
Untuk menghilangkan hanyir ikan darat (sungai) sebenarnya agak sukar berbanding ikan laut. Cara berkesan untuk mencucinya ialah dengan mengambil beberapa helai daun serai dan sedikit asam jawa. Ramas keduanya dan gaul bersama ikan. Perapkan beberapa minit kemudian bilas dengan air bersih. Pasti ikan tidak hanyir lagi.
Bersihkan Getah Nangka
Gulai lemak nangka sememangnya merupakan hidangan yang cukup menyelerakan. Tetapi permukaan dalam periuk yang digunakan untuk merebus nangka tersebut seringkali meninggalkan kesan getah nangka yang sukar untuk dicuci. Cuba gosokkan periuk tersebut dengan sedikit minyak masak dan cuci sehingga bersih. Hasilnya getah nangka akan hilang.
Mengatasi Nasi Lembik
Masukkan dua biji telur ayam ke dalam periuk nasi. Biarkan seketika. Hasilnya nasi akan menjadi kering dengan sempurna.
Ulam Kekal Rangup
Rendam ulam selama beberapa minit dalam air yang telah dicampurkan dengan sedikit cuka dan perahan limau nipis. Biarkan seketika barulah diangkat. Ulam tetap segar dan rangup biarpun telah lama dibeli.
Simpan Ikan Tanpa Peti Sejuk
Kalau tiada peti sejuk atau kemungkinan bekalan elektrik di rumah anda terputus, ada cara untuk mengelakkan ikan menjadi busuk sekurang-kurangnya untuk tempoh sehari. Caranya dengan menggaulkan ikan itu dengan nasi sejuk dan sedikit garam. Pada keesokannya basuhlah ikan itu dan masak seperti biasa.
Mengelakkan Lipas
Ambil beberapa helai daun pandan dan letakkan di tempat kegemaran lipas seperti almari pakaian dan ceruk-ceruk dapur. apabila daun pandan itu sudah layu, gantikannya dengan daun-daun baru.
Petua kat atas antara yang aku dah cuba, banyak jugak yang menjadi. Aku cukup suka dengan petua - petua tradisi kita ni mesra alam, pandai orang dolu - dolu createkan pahtu menjadi pulak tu.
No comments:
Post a Comment