Program Perkhemahan 1 Malaysia murid-murid tahun 6 seluruh sekolah-sekolah di Lembah Kinta bermula dengan tragedi buruk. Program yang baru bermula petang semalam di di SK Kuala Dipang di kejutkan apabila jambatan gantung yang menghubungkan antara SK Kuala Dipang dengan tapak perkhemahan di seberang Sg. Kampar tiba-tiba runtuh kerana tidak mampu menanggung sejumlah pelajar yang agak ramai.
Pelajar-pelajar berpusu-pusu untuk makan malam di SK. Kuala Dipang setelah selesai acara yang diadakan di tapak perkhemahan. Bilangan pelajar yang melalui jambatan gantung terlalu ramai sehingga jambatan tersebut runtuh. Jumlah yang sebenar dihanyutkan sungai yang deras tidak pasti, tetapi menurut laporan polis 22 orang pelajar disyaki hanyut dan dikhuatiri lemas.
Dari maklumat yang diperolehi jambatan gantung ini dibina secara tergesa-gesa dipercayai sampai sebulan telah siap, jambatan ini tidak menepati struktur binaan yang kukuh, tiang jambatan gantung di sebelah SK. Kuala Dipang boleh terbongkar dan tercabut, filing binaan tidak kukuh, hanya beberapa meter sahaja tiang di tanam kemudian di simen begitu sahaja.
Sesiapa pun melihat walaupun bukan kontraktor atau mengetahui asas-asas berkaitan binaan, pun boleh pertikai binaan tersebut. Kita tidak bermaksud menuding jari kepada sesiapa, tapi apa yang kita mahu persoal berdasarkan maklumat yang diperolehi mengapa program yang melibat pelajar yang ramai (peserta hampir 300 orang) fasilitator yang dilantik cuba 11 orang sahaja, mengapa ketika kejadian berlaku kebanyakan guru berada di SK Kuala Dipang, hanya beberapa orang sahaja yang berada di tapak perkhemahan, bagaimana pula murid-murid yang begitu ramai dibiarkan berpusu-pusu menuju ke jambatan tanpa diawasi atau meniti jambatan secara berkumpulan, jambatan gantung yang dibina pula adakah sudah diperiksa dan diluluskan sebelum digunakan, dibina pula secara tergesa-gesa, dan banyak lagi.............
Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Perak wajar bertanggungjawab di atas insiden tersebut. Jabatan tersebut merupakan penganjur kepada program tersebut yang bukan sahaja diadakan di SK. Kuala Dipang bahkan di seluruh Perak atas nama Perkhemahan 1 Malaysia. Difahamkan program seumpama itu diadakan bertujuan menghabiskan peruntukan hampir 6 juta yang mesti dihabiskan pada tahun ini juga. Antara program yang bertujuan menghabiskan peruntukan tersebut ialah menganjurkan perkhemahan seumpama ini.
Akibatnya semua dibuat dan dibina dengan tergesa-gesa, jambatan gantung dibina dengan tergesa-gesa, yang penting bagi mereka siap dan boleh digunakan dalam tempoh terdekat, lalu jambatan tersebut dibina dengan tidak mengambil kira aspek-aspek keselamatan. Jambatan itu pula selepas siap terus sahaja digunakan oleh sejumlah pelajar yang ramai. Saya percaya sekiranya jambatan tersebut diperiksa dengan teliti aspek-aspek binaannya sudah pasti tidak akan diluluskan untuk digunakan.
Kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran ini, diharap insiden yang berlaku memberi kesedaran untuk masa akan datang mesti berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan terlebih dahulu.
Dalam menangani perkara sebegini kepaada siapa kita hendak menunding jari???